Khamis, 11 Oktober 2012

ONLINE TRAINING


 Money Tips for Young Graduates

Jumaat, 5 Oktober 2012

Emas fizikal lebih baik


PELABURAN emas semakin mendapat perhatian orang ramai dan lebih banyak individu mula memilih emas sebagai medium pelaburan jangka panjang. Namun, beberapa syarikat mengambil kesempatan memperkenalkan skim pelaburan emas yang kelihatan menguntungkan tetapi sebenarnya hanya menipu pelabur.
Ikuti temu bual wartawan Bisnes Metro, Syarifah Dayana Syed Bakri dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Hijjaz Gold Sdn Bhd, Md Zamri Mohamad Nazir mengenai pelaburan emas dan tip memaksimumkan pelaburan.

ADAKAH pelaburan emas boleh memberi banyak keuntungan kepada pelabur?
Terdapat dua cara untuk membeli emas iaitu melalui ejen yang mendapatkan bekalan emas dari kilang atau membeli emas terpakai. Kedua-dua cara ini boleh memberi keuntungan kepada pelabur, namun memerlukan masa dan tidak boleh memberi keuntungan serta-merta.
Cara yang terbaik untuk mengoptimumkan keuntungan ialah dengan mendapatkan emas pada harga paling rendah iaitu melalui pembelian emas terpakai.

Ini kerana emas tetap dikira sebagai emas walaupun patah atau rosak kerana jika dileburkan ia masih dikira emas dan boleh dijual mengikut harga pasaran.


Adakah pelaburan emas fizikal lebih menguntungkan berbanding pelaburan emas mengikut harga pasaran seperti ditawarkan beberapa institusi kewangan?

Pelaburan emas fizikal adalah yang terbaik kerana pemilik emas boleh menilai dan memiliki emas dibeli.

Pelaburan emas berdasarkan harga emas tanpa mendapat produk emas dikategorikan sebagai haram kerana hanya membabitkan permainan harga tanpa memiliki emas sebenar.

Ia turut berisiko menyebabkan pelabur tertipu kerana tidak dapat menilai emas mengikut harga pasaran berikutan hanya bergantung kepada harga ditetapkan institusi kewangan.


Apakah cara terbaik untuk mengelak terperangkap dengan skim emas berunsur penipuan?

Apa-apa bentuk perniagaan atau pelaburan yang ingin dilakukan perlu dilengkapkan dengan pengetahuan dan maklumat kerana dapat mengelak pelabur tertipu.

Bagi melabur dalam emas, pelabur perlu mempunyai pengetahuan indeks harga emas, trend turun dan naik harga emas, cara mengenal pasti emas tulen dan tiruan serta yang paling utama teknik mendapatkan emas paling murah.

Jika memiliki ilmu berkaitan emas, pelabur emas boleh mendapat keuntungan serta-merta jika tahu cara yang betul.


Bagaimana jika seseorang individu ingin membuat simpanan emas untuk jangka panjang?

Menabung emas adalah lebih baik daripada wang kerana harga emas boleh meningkat walaupun mengambil masa lama.

Bagaimanapun, jika seseorang ingin menjadikan emas sebagai medium simpanan, ia adalah langkah terbaik kerana sekurang-kurangnya nilai simpanannya meningkat berbanding simpanan wang yang boleh dikeluarkan bila-bila masa.

Bagaimanapun, untuk memastikan simpanan emas dilakukan memberi pulangan tinggi, pelabur perlu mendapatkan emas pada harga paling rendah sama ada melalui harga kilang atau membeli emas terpakai.


Apakah langkah yang perlu diambil jika seseorang individu itu berminat membuat pelaburan emas?

Sebelum membuat pelaburan dengan jumlah wang yang banyak adalah lebih baik sekiranya pelabur mendapatkan ilmu berkaitan emas.

Ini bagi membolehkan pelaburan yang dibuat tidak merugikan kerana jika mengikut cara salah, pelaburan itu menjadi sia-sia dan pelabur mungkin menanggung kerugian walaupun ia berkaitan pelaburan emas.

Pastikan jenis pelaburan ingin dibuat, sama ada untuk simpanan sendiri bagi jangka panjang atau melabur untuk mendapat keuntungan kerana ia membabitkan konsep dan sistem berbeza.

Selain itu, mereka yang berminat boleh mula memantau sendiri harga emas dunia di www.goldprice.org atau www.kitco.com untuk menilai sendiri turun naik harga emas dalam tempoh tertentu.

Sikap pengguna yang terlalu mudah percaya


Sikap pengguna yang terlalu mudah percaya kepada kekayaan sekelip mata, membuatkan mereka gelap mata dan menyertai sebarang pelaburan tanpa menyelidiki latar belakang individu atau syarikat yang menawarkan pelaburan berkenaan terlebih dulu.
Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berkata, walaupun sudah kerap dipaparkan melalui media mengenai penipuan membabitkan pelaburan, orang ramai masih ingin melabur dalam skim seperti itu. “Malah, ramai pelabur yang tidak mengetahui sama ada syarikat yang dilabur itu benar-benar wujud selain mudah terpengaruh dengan testimoni pelabur yang berjaya dalam pelaburan berkenaan sebelum ini.

“Justeru, saya menasihatkan bakal pelabur supaya mempunyai pengetahuan asas dalam pelaburan bagi mengelakkan mereka tertipu selain menyelidiki syarikat pelaburan yang ingin disertai terlebih dulu terutama jika membabitkan jumlah besar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai nasib seorang warga emas yang datang dari Terengganu untuk membuat pelaburan emas dengan seorang lelaki Nigeria di ibu kota yang dirompak RM310,000 sejurus sebelum perbincangan bermula dengan Awang Hitam terbabit dalam bilik di sebuah hotel di Jalan Ampang Hilir, petang kelmarin. Awang hitam itu yang dikenali mangsa melalui seorang kenalannya di Kuala Lumpur mendakwa sudah lama bergiat dalam pelaburan emas yang diimport dari negara asal mengikut permintaan pembeli.

Petikan:hmetro.com.my

Selasa, 2 Oktober 2012

Jangan tertipu dengan skim pelaburan emas

Orang ramai diingatkan tidak mudah tertipu dengan skim pelaburan emas yang ditawarkan dalam talian akhir-akhir ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, maklumat mengenai skim pelaburan emas yang dipercayai skim cepat kaya versi baru, yang mula berleluasa di negara ini. Menurutnya, skim tersebut dipercayai berpangkalan di luar negara, menyasarkan peminat pelaburan emas dengan tarikan keuntungan sehingga 20 peratus.
sumber:sinarharian